PROFIL LEMBAGA PENGARAH



 

PENGERUSI:
Tan Sri Dr. Ali Hamsa

TAN Sri Dr Ali Hamsa, 61, merupakan Ketua Setiausaha Negara Kerajaan Malaysia.

Sebelum perlantikannya pada 2012, Tan Sri Dr Ali telah memegang jawatan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri sejak 2009. Sebelum itu, beliau telah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dan memegang jawatan Pengarah Bahagian Pembahagian diikuti Timbalan Ketua Pengarah Program Transformasi dan Kemajuan Nasional.

Tan Sri Dr Ali menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1981 sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Beliau kemudiannya ditugaskan sebagai Pengurus Projek Kanan, Pengurusan Ekonomi dan Dasar Awam (Putera) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Tan Sri Dr Ali berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya sebelum melanjutkan pelajaran di Oklahoma State University,Amerika Syarikat, di mana beliau menerima Ijazah Sarjana Ekonomi pada tahun 1986, diikuti Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Alam Sekitar dan Ekonomi pada tahun 1997.

Beliau telah dipilih sebulat suara sebagai Presiden Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran dan Pengurusan Awam (CAPAM) yang baharu bagi tempoh 2014-2016. Beliau juga merupakan Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Pengerusi Bersama bagi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan Timbalan Pengerusi Johor Corporation (JCorp).


 

 

AHLI:
Dato’ Sri Shahril Mokhtar

Dato’ Sri Shahril Mokhtar, 43, adalah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia.

Sebelum dilantik ke jawatan tersebut, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), jawatan yang disandangnya sejak tahun 2010. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Sebelum menyertai SPAD,Dato’ Sri Shahril telah bertugas dengan RapidKL sebagai Pengurus Besar Perancangan Korporat. Semasa berkhidmat dalam jawatan itu, beliau telah dipinjamkan sebagai Penasihat di Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, di mana beliau terlibat dalam usaha merangka Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.Dato’ Sri Shahril juga terlibat di dalam makmal untuk penambahbaikan pengangkutan awam di bawah Program Transformasi Kerajaan.

Jawatan-jawatan yang pernah disandang Dato’ Sri Shahril sebelum ini termasuk Pengurus Besar Penerbangan Malaysia Bhd, Pengurus di PricewaterhouseCoopers Malaysia dan Eksekutif Kanan di Maybank Group.

Kini, beliau merupakan Ahli Lembaga Prasarana dan MyHSR (High Speed Rail) Corp, kedua-duanya syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia.


 

AHLI:
Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah

TAN Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, 59, merupakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan.

Sebelum perlantikannya, beliau memegang beberapa jawatan di Kementerian Kewangan termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) dan di Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa dari 2003 sehingga 2008, Setiausaha Bahagian, Ketua Bahagian Perhubungan Pelbagai Hala, Ketua di Seksyen Ekonometrik dan Ketua Penolong Setiausaha.Di Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dari 1987 sehingga 1999,Tan Sri Dr Mohd Irwan telah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Kanan di Unit Penswastaan dan Timbalan Pengarah Kanan di Unit Tenaga.

Beliau mempunyai kelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Pengurusan Tenaga dan Dasar dari University of Pennsylvania; dan Ijazah Sarjana Muda dalam Kajian Populasi dari Universiti Malaya.

Kini, beliau merupakan Ahli Lembaga Khazanah Nasional Berhad,Govco Holding Berhad, Cyberview, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Bank Negara Malaysia, Petronas, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM),Tabung Haji, Suruhanjaya Koperasi dan Kumpulan Wang Amanah Pencen.

 


 

 

AHLI:
Dato’ Noorizah Abd Hamid 

Dato’ Noorizah Abd Hamid, 57, sebelum ini Noorizah adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Berhad dari 2007 hingga 2017 yang mana beliau terlibat dalam rundingan dan pemerolehan beberapa projek lebuhraya seperti Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim serta lebuhraya di Indonesia dan India.

Beliau juga terlibat dalam penswastaan PLUS Expressway Bhd, rundingan dengan pihak kerajaan dalam mengkaji semula perjanjian konsesi syarikat dan juga menaikkan RM309.6 bilion daripada sukuk - terbitan bon Islam terbesar di dunia - dalam penstrukturan semula syarikat.

Jawatan kanan lain yang telah dipegangnya termasuklah Pengurus Besar Kanan Kewangan Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad, Pengurus Kanan Hatibudi Management Sdn Bhd, Pengurus Kewangan Korporat Renong Berhad, dan Pegawai Kewangan Kanan Korporat Permodalan Nasional Berhad.

Noorizah memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan & Pengurusan) dari University of Central Michigan, Amerika Syarikat. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari universiti yang sama, dan Diploma Perakaunan dari Institut Teknologi MARA.


 

 

AHLI:
Datuk Che Mokhtar Che Ali

Datuk Che Mokhtar Che Ali, 62, adalah pengasas dan rakan kongsi di Tetuan Che Mokhtar & Ling,sebuah firma undang-undang di Kuala Lumpur.

Dengan pengalaman hampir 30 tahun sebagai pengamal undang-undang, Datuk Che Mokhtar telah berkhidmat sebagai ahli Panel Jawatankuasa Tatatertib dalam Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam dan pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa tersebut.

Beliau pernah dilantik sebagai Notari Awam oleh Peguam Negara. Sebagai seorang peguam, beliau pernah mengendalikan kes-kes bagi pelbagai syarikat awam dan swasta, institusi perbankan, pemaju-pemaju dan badanbadan berkanun seperti Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sains Politik dan Pentadbiran Awam) dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Victoria University of Wellington,New Zealand. Datuk Che Mokhtar diterima sebagai Peguamcara dan Peguambela di Mahkamah Agung New Zealand dalam tahun 1980 dan tiga tahun kemudiannya sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau kini memegang jawatan Pengarah, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan ahli Jawatankuasa Pencalonan di Sumatec Resources Bhd. Beliau juga adalah pengarah dalam beberapa syarikat, termasuk KYS College Sdn Bhd yang merupakan pengendali Kolej Yayasan Saad Melaka. Beliau merupakan bekas pengarah Idris Hidraulik Bhd, Idaman Unggul Bhd dan Eco World Development Group Bhd (dahulu dikenali sebagai Focal Aims Holdings Bhd).


 

 

AHLI:
Dato’ Sutinah Sutan

Dato' Sutinah Sutan, 62, adalah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Pesuruhjaya di SPRM.

Sebelum dilantik ke jawatan tersebut pada tahun 2010,Dato' Sutinah telah memegang beberapa jawatan kanan di SPRM termasuk Pengarah Pendidikan Komuniti dan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan. Beliau juga pernah memegang jawatan Pengarah Negeri Pulau Pinang dan Pahang. Sebelum menyertai SPRM, beliau adalah Pegawai Penyelidik Komunikasi Kanan di Lembaga Perancang Keluarga Negara.

Dato' Sutinah juga banyak memainkan peranan dan tanggungjawab yang strategik, di dalam dan di luar negeri. Antaranya ialah Ketua Urusetia kepada Jawatankuasa Tadbir Urus Sektor Awam (sekarang dikenali sebagai Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus), Pengerusi pasukan petugas yang bertanggungjawab untuk menggubal instrumen audit nilai dalam sektor awam, Pengerusi Rakan Kerja Meja Bulat untuk Ikrar Integriti Korporat,Ahli pasukan petugas bagi merangka Pelan Integriti Nasional,Ahli dalam Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksana (Pemandu) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Pakar Kerja APEC SME untuk Kod Etika Perniagaan, Inisiatif Anti-Rasuah untuk Asia dan Pasifik di bawah ADB-OECD dan Kumpulan Pakar Anti-Rasuah dan Ketelusan APEC.

Dato' Sutinah memiliki Ijazah Sarjana Muda Kemanusiaan dengan Kepujian daripada Universiti Sains Malaysia dengan pengkhususan dalam Komunikasi Massa.


 

 

AHLI:
Datuk Dr Ir Abdul Latif Mohd Som

DATUK Dr Ir Abdul Latif Mohd Som, 61, adalah Pengerusi Eksekutif KL Prima Consult Sdn Bhd, sebuah firma perundingan kejuruteraan bersaiz sederhana milik Bumiputera yang ditubuhkan oleh beliau pada 1996.

Datuk Dr Ir Abdul Latif Mohd Som memulakan kerjayanya di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) apabila beliau berkhidmat sebagai Jurutera Struktur pada tahun 1979. Setelah menerima ijazah lanjutan pada tahun 1983, beliau menyertai Minconsult Sdn Bhd, salah sebuah firma perundingan kejuruteraan yang terbesar di Malaysia, dan seterusnya, United Engineers (M) Bhd sebagai Jurutera Awam Kanan. Pada 1989, beliau menyertai Sime UEP Bhd sebagai Pengurus Projek, di mana beliau kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Besar SEA Drillers Construction Sdn Bhd, sebuah syarikat subsidiari milik penuh Sime UEP.

Pada 1991, beliau meninggalkan Sime UEP Bhd untuk menjadi Pengarah dan Pemegang Saham Kumpulan Jurutera Maju Sdn Bhd, sebuah firma perundingan kejuruteraan sivil dan struktur. Beliau kemudiannya meninggalkan firma pada 1996 untuk menubuhkan KL Prima Consult Sdn Bhd bersama tiga jurutera professional yang lain.

Datuk Dr Ir Abdul Latif memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Awam) dari University of Birmingham, United Kingdom dan mendapat lesen Jurutera Profesional beliau pada tahun 1986. Beliau melanjutkan pelajaran di University of Edinburgh di United Kingdom di mana beliau memperolehi Ijazah Sarjana Perniagaan Pentadbiran, diikuti dengan PhD dalam Alam Bina (pengkhususan dalam perniagaan antarabangsa) dari Universiti Teknologi Mara.

Beliau juga merupakan Penasihat ICG Global Sdn Bhd, firma perundingan pelbagai disiplin profesional yang terbesar buat masa ini, Ahli Majlis Persatuan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) dan Pengerusi Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Malaysia. Sebelum itu, beliau telah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Penasihat DBKL dan juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Jurutera Malaysia.


 

 

AHLI:
Encik Ahmad Zubir Zahid

Encik Ahmad Zubir Zahid, 43, merupakan Ketua dan Pengarah Zulu Capital Sdn Bhd, sebuah syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian yang diasaskan oleh beliau pada tahun 2014. Syarikat ini melabur dalam syarikat-syarikat tidak tersenarai terutamanya dalam industri makanan dan minuman.

Beliau mempunyai lebih daripada tujuh tahun pengalaman dalam industri minyak dan gas luar pesisir (offshore), sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) bagi 3 syarikat pembinaan luar pesisir yang berlainan. Sebelum menubuhkan Zulu Capital Sdn Bhd, beliau adalah CFO Daya Offshore Construction Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Daya Materials Berhad yang menawarkan perkhidmatan pembinaan dasar laut. Sebelum itu, beliau merupakan CFO Labuan Shipyard & Engineering Sdn Bhd, sebuah kontraktor perkhidmatan luar pesisir dan marin dan SapuraAcergy Sdn Bhd, sebuah kontraktor pembinaan dan kejuruteraan dasar laut ke permukaan. Kedua-dua syarikat ini adalah usaha sama syarikat-syarikat dalam kumpulan syarikat SapuraKencana Petroleum Berhad.

Sebelum menyertai industri minyak dan gas, beliau menghabiskan lebih dari satu dekad dalam industri perkhidmatan kewangan sebagai perunding pengurusan, pelaburan bank dan juruaudit di Ethos Consulting, ECM Libra, CIMB Investment Bank dan PwC.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Chicago Booth School of Business di Amerika Syarikat. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol di United Kingdom pada tahun 1996.

Beliau adalah seorang Fellow Institute of Chartered Accountants di England dan Wales dan ahli bersekutu Institute of Chartered Accountants di Australia. Beliau juga adalah ahli Institut Akauntan Malaysia.

 


 

 

Kembali ke Atas

 
Hak Cipta © 2017 Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd(902884V). Semua Hak Terpelihara.